5 Sebab Anda Perlu Memilih Sains Komputer Sebagai Mata Pelajaran Elektif SPM Anda

Cuti sekolah sudah bermula. Sementara menunggu keputusan PT3, anda mula mencari mata pelajaran elektif yang anda rasa anda boleh bawa untuk SPM. Tetapi anda masih buntu kerana pilihan mata pelajaran yang pelbagai seperti Sains Tulen, Prinsip Perakaunan dan Sastera. Artikel ini mungkin dapat membuka hati anda kepada subjek Sains Komputer yang mungkin anda tidak pernah dengar sebelum ini kerana pihak kerajaan baru sahaja memperkenalkan subjek ini pada tahun 2017. Berikut merupakan 5 sebab mengapa anda perlu memilih subjek Sains Komputer (SK):


1. Sains Komputer ialah mata pelajaran yang “seronok” 😀

Sains Komputer adalah satu-satunya mata pelajaran yang penulis 100% yakin akan menggunakan komputer 😛 . Antara perkara yang menyeronokkan dalam Sains Komputer adalah apabila program kita akhirnya mengeluarkan output yang dikehendaki setelah berhempas-pulas membetulkan segala ralat yang terdapat dalam program tersebut. Namun begitu, perkara yang paling menyeronokkan semestinya ialah pelajar dapat “menggunakan” komputer. Waktu Sains Komputer dianggap sebagai eskapisme untuk pelajar-pelajar Sains Komputer kerana mereka boleh melayari internet dengan bebas tidak seperti kawan-kawan mereka yang lain. Tetapi jangan lakukan perkara ini sewaktu kelas Sains Komputer sedang berlangsung!

2. Suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif

Makmal Komputer

Gambar sekadar hiasan // Pinterest

Kebiasaannya kelas Sains Komputer akan diadakan di dalam makmal komputer yang berhawa dingin. Selain itu, selalunya kelas Sains Komputer juga mempunyai bilangan pelajar yang sangat sedikit berbanding kelas-kelas lain. Gabungan dua faktor ini dapat menimbulkan suasana pembelajaran yang sangat selesa dan kondusif tanpa sebarang gangguan.

3. Dapat mempelajari asas Sains Komputer sebelum melanjutkan pelajaran di universiti

sains komputer universiti

Sekiranya anda meminati mata pelajaran ini, anda boleh mengambil peluang ini untuk mempelajari serba sedikit tentang mata pelajaran ini sebelum mengambilnya di universiti. Sekurang-kurangnya anda tidak akan berasa janggal di universiti nanti kerana peperiksaan SPM untuk SK boleh dikatakan ‘simulasi’ tesis di universiti. Sebagai contohnya, anda perlu melakukan projek pembangunan sistem untuk Kertas 2. Sekiranya anda rasa anda tidak boleh bawa, anda boleh memilih bidang lain di universiti nanti.

4. Peluang pekerjaan yang lebih cerah

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa teknologi memang amat penting pada masa kini. Teknologi seperti kepintaran buatan (AI), realiti berperantara (AR) dan juga realiti maya (VR) kini semakin kerap digunakan berbanding dahulu. Dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, teknologi-teknologi ini akan mendapat lebih banyak permintaan pada masa akan datang. Bidang ICT juga dikatakan akan terus berkembang walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

5. Senang untuk skor 💯

Hal ini hanyalah berdasarkan pemerhatian penulis. Peluang untuk anda lulus dalam SK adalah lebih cerah berbanding subjek-subjek elektif yang lain, sekurang-kurangnya semasa Tingkatan 4. Antara sebab-sebabnya ialah SK merupakan subjek yang baru jadi tidak banyak bahan rujukan yang boleh dijadikan soalan peperiksaan. Selain itu, peperiksaan SK Tingkatan 4 juga mempunyai lebih banyak teori. Tetapi anda tetap perlu melakukan amali untuk SPM.


Artikel ini hanya bertujuan untuk membantu anda membuat pilihan, bukan untuk memaksa anda. Penulis doakan anda dapat membuat pilihan yang terbaik. Salam.

Leave a comment